Saturday, 28 May 2011

Sudahkah anda membuat Penamaan KWSP?

Jika anda berumur 18 tahun dan ke atas, anda boleh menamakan waris anda (dibenarkan lebih dari seorang) sebagai penerima/pentadbir simpanan KWSP anda apabila anda meninggal dunia. Anda dinasihatkan untuk menamakan ahli keluarga terdekat seperti suami, isteri, anak-anak, bapa, ibu atau adik-beradik bagi memudahkan pengeluaran simpanan KWSP anda.
Bagi ahli bukan beragama Islam, individu (atau individu-individu) yang dinamakan adalah merupakan pewaris yang sebenar (beneficiary), yang akan menjadi penerima multak simpanan anda apabila anda meninggal dunia. Manakala, bagi ahli yang beragama Islam, individu (atau individu-individu) yang dinamakan adalah merupakan wasi / pentadbir yang bertanggungjawab untuk menguruskan pengagihan simpanan anda kepada waris yang berhak mengikut hukum Faraid apabila anda meninggal dunia.
Warganegara asing tidak dibenarkan membuat sebarang penamaan.

Kenapa Perlu Membuat Penamaan?

Anda digalakkan membuat penamaan bagi memudahkan dan mempercepatkan urusan pengeluaran simpanan KWSP anda kepada penama tersebut.
Sekiranya anda tidak membuat penamaan untuk simpanan KWSP anda, waris terdekat atau tanggungan anda berkemungkinan menghadapi kesukaran untuk menuntut simpanan tersebut daripada KWSP.
Sekiranya simpanan anda melebihi RM25,000, waris terdekat anda perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir/Surat Probet/Perintah Pembahagian/Sijil Faraid daripada pihak yang menguruskan harta pusaka seperti Amanah Raya Berhad atau Mahkamah atau Pejabat Tanah. Proses untuk mendapatkan dokumen-dokumen berkenaan biasanya mengambil masa yang panjang dan pemohon akan dikenakan bayaran tertentu.
Bagaimana Membuat Penamaan?

Anda perlu mengisi Borang Penamaan KWSP 4 (AHL) dengan lengkap dan menghantarnya ke mana-mana pejabat KWSP yang berhampiran. Borang ini perlu diterima oleh KWSP semasa hayat anda.

Bagaimana Mengemaskini Penamaan?

Anda boleh menukar, meminda atau membuat penamaan baru dengan mengemukakan Borang Penamaan KWSP 4 yang baru. Sebaik sahaja KWSP menerima Borang Penamaan tersebut, penamaan anda yang terdahulu akan terbatal dengan sendirinya.

Penamaan Bagi Ahli Yang Beragama Islam

Bagi ahli yang beragama Islam, individu (individu-individu) yang dinamakan hanya bertindak sebagai wasi/pentadbir yang bertanggungjawab untuk mengagihkan simpanan anda kepada waris-waris yang berhak mengikut Hukum Faraid.

Saksi-saksi Yang Diiktiraf

Anda boleh memilih sesiapa sahaja yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk menjadi saksi kepada penamaan anda kecuali individu (individu-individu) yang dinamakan di dalam Borang Penamaan itu.
Menyemak Penamaan

Jika anda ingin membuat semakan ke atas penamaan yang telah dibuat, anda boleh menyemak penamaan tersebut melalui cara berikut:-
  • Menulis surat kepada:-
    Unit Penamaan,
    Seksyen Pendaftaran,
    Pejabat KWSP Petaling Jaya,
    Bangunan KWSP Jalan Gasing,
    46598 Petaling Jaya,
    Selangor.
Anda perlu kemukakan kad pengenalan untuk semakan di kaunter manakala untuk semakan secara bertulis anda perlu sertakan salinan kad pengenalan.

No comments:

Post a Comment